Bangunlah Wahai Anak Muda!




Qum, Faanzir !

Bangkit dan berdirilah. Susun barisan dan kekuatan. Barisan dan kesatuan Umat. Kobarkan semangat dan seruan. Seruan kepada kebenaran dan peperangan terhadap kebathilan. Gemakan sentiasa Kalam Illahi, kumandangkan selalu suara dan seruan kebenaran. Hingga seruan itu samapai kepada setiap manusia. Gempitakan kepada dunia dan kepada manusia ajaran agama Tauhid, ajaran Cita dan Cinta.
 

Warabbaka fakabbir !
Besarkan Tuhanmu, di atas segala ! Tak ada menyamai Kebesaran-Nya. Tiada kekuasaan yang menyamai Kekuasaan-Nya. Tiada urusan atau kepentngan yang lebih daripada urusan dan kepentingan menjalankan perintah-Nya. Semuanya kecil di hadapan Allahu Akbar. Fana, lenyap dan binasa segala dalam keBaqaan-Nya. Tiada harapan selain kepada keredhaan-Nya belaka. Tiada kesulitan apabila Ruh telah bersambung dengan Allah. Semuanya amat mudah bagi-Nya.

Wathiabaka fatohhir!
Bersihkan dirimu, lahir dan batinmu! Hanya dengan kesucian ruh, Amanah dan Risalah ini dapat engkau jalankan. Risalah dan Amanah ini adalah suci. Dia tidak boleh dipegang oleh tangan yang kotor, jiwa yang berlumuran dosa dan noda. Hanyalah dengan kesucian ruh engkau dapat memikul tugas dan beban berat dakwah ini. Suci dan menyucikan, itulah peribadi Mukmin yang sejati. Tangan yang berlumuran darah maksiat tidak mungkin akan mampu berbuat kebaikan kepada dunia dan manusia. Jiwa yang kotor dan penuh dosa tidak mungkin akan memberikan isi dan erti pada dunia dan manusia.


Warrujza fahjur !

Jauhilah maksiat, Dosa itu akan menodai dirimu, akan menghitamkan wajah hatimu. Engkau tidak akan sanggup menghadap, jika mukamu tebal dan hitam dengan dosa dan maksiat, Namamu akan cemar di hadapan Rabbul Izzati kalau larangan-Nya tidak enggkau jauhi. Bersihkanlah dirimu, keluargamu, masyarakat, bangsamu dari kemaksiatan dan kemungkaran. Makruf yang harus ditegak dan mungkar yang harus ditumbang, adalah program perjuanganmu. Al-Haq yang dimenangi dan bathil yang harus dibinasakan, adalah acara dan jihadmu.


Wala tamnun tastakthir!

Jangan engkau memberi kerana harap balasan yang banyak! Jalankan tugas ini tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari manusia. Menjalankan tugas adalah berbakti dan mengabdi, tidak mengharapkan balasan dan pujian, keuntungan benda dan material. Kekayaan manusia tidak cukup untuk membalas kerja Dakwahmu yang tidak ternilai itu. Jalankan tugas ini kerana hanya mengharapkan keredhaan Allah.


Walirabbika fasbir!

Kerana Tuhanmu, hendaklah engaku bersabar! Lakukan tugas dakwah ini dengan segala kesabaran dan keteguhan. Sabar menerima musibah yang menimpa, ujian yang silih berganti. Sabar menahan dan mengendalikan diri. Tidak putus asa dan hilang harapan atau kecewa melihat hasil yang ada atau tidak seimbangnya hasil dan pengorbanan yang diberikan. Hanya dengan sabar akan menyampaikan engkau kepada tujuan.

~Surah Al-Muddatsir:2-7~


sumber : Akuislam

No comments:

Post a Comment


ALHAMDULILLAH , JAZAAKALLAHU KHAIRA (: