Biarkan Semalam Berlalu

assalamualaikum w.r.t.




Hiduplah sebaik-baiknya pada hari ini
 
Lihatlah disekeliling kita, segalanya tumbuh, membesar dan bergerak kedepan. Angin yang menghembus, sungai yang mengalir tidak pernah melawan arah melainkan sentiasa kedepan. Pohon-pohon juga terus membesar dan meninggi kecuali sebahgian darinya yang menemui kematian. Ya, disebalik pergerakan, pertumbuhan dan penambahan itu adalah kematian sedangkan kehidupan itu sentiasa bergerak, tumbuh, membesar dan meninggi.  Begitu juga dengan umur kita, semakin hari semakin bertambah bukan semakin berkurangan walaupun kita kumpulkan segala penyesalan dan tangisan.



Biarkan semalam berlalu dengan segala kenangannya, samada pahit ataupun manis. Biarkan matahari semalam terbenam dengan penuh kerelaan dan biarkan malam menyelimutinya dengan kegelapan supaya kita benar-benar menikmati keindahan pagi.



Katakan kepada kenangan pahit “Engkau kini telah menjadi sebahagian dari masa silamku dan aku tidak lagi akan menangisimu dan membiarkan diriku terbelit dengan segala keresahan yang ada bersamamu, aku ingin menikmati keindahan pagi bersama fajar dan harapan baru.”
Katakan pula kepada kenangan manis, “Engkau bukan lagi milikku, saat-saat kegembiraan kita telah berlalu dan aku sedang berdepan dengan saat yang lebih berharga dari dirimu iaitu saat-saat yang masih aku miliki untuk kucorakkan dengan harapan dan impian”.




Biarkan semalam berlalu kerana kita ingin menikmati hari ini yang sedang kita hadapi. Kita ingin menikmati keindahan pagi bersama seribu impian. Kita ingin menyemai benih harapan agar jiwa kita akan sentiasa segar dan mampu tersenyum melihat kehidupan.  Kita ingin menanam pohon-pohon kebaikan sebanyak mungkin agar kita akan menuai buah-buah kebahagiaan apabila tiba waktunya nanti. Biarkan semalam terus berlalu kerana kita sedang menikmati saat-saat yang lebih bermakna untuk kita warnai dan kita corakkan. Iaitu HARI INI, hari yang terbentang dan mataharinya bersinar dicelah gunung-gunung harapan.




Tidak mengapa untuk menyimpan kenangan tetapi sekadar hiasan yang menempati bahagian kecil dari kehidupan kita yang terbentang luas. Letakkan kenangan manis kita di satu penjuru dan katakan padanya, “tempatmu hanya disitu kerana aku ingin terus menerokai hari baru, sesekali kita boleh bercerita tetapi hanya untuk seketika”. Letakkan kenangan pahit disatu penjuru yang lain dan katakannya ‘terima kasih diatas semua pengajran yang engkau ajarkan dan kini aku akan lakukan sesuatu yang benar dan lebih baik, aku ingin terus menatap matahari kehidupanku sambil menyedut harapan baru dan engkau sedikitpun tidak berhak untuk mengurung jiwaku. Biarkan aku bebas memilih kehidupanku.”



Katakan pula pada hari esok “engkau boleh terus menunggu kerana aku ingin menikmati hari ini sepuasku. Pertemuan kita masih belum pasti, jadi aku ingin lakukan segalanya pada hari ini. Aku ingin melakukan amal yang terbaik dengan seikhlas hatiku seolah-olah kita tidak akan pernah bertemu”


SINI :link motivasi





No comments:

Post a Comment


ALHAMDULILLAH , JAZAAKALLAHU KHAIRA (: