Kekosongan di dalam hati.

assalamualaikum,

Di dalam hati kita, ada satu lompong. Kosong. Tidak terisi.
Semua kita merasakan kekosongannya. Ruang itu sunyi. Dan kita takut dengan kesunyian yang ada di dalam ruang itu.
 
Akhirnya kita mula mencari sesuatu untuk mengisinya. Ada yang mencari harta, ada yang mencari pasangan, ada yang mencarinya dengan memanjat gunung dan menyelam ke dasar laut, ada yang berusaha mengisinya dengan menganiaya orang lain, dan ada juga yang mengisinya dengan cara menggembirakan orang lain.
Tetapi akhirnya semua itu ibarat berpusing di dalam bulatan.


Rasa kosong itu tetap tidak terisi. Kita rasa takut dengan kekosongan itu.

Maka apakah kekosongan itu? Dengan apakah kita patut mengisinya?

Itulah dia ruang khas untuk Ilahi. Kosong, kerana kita tidak mengisinya dengan perkara yang patut kita isikan padanya. Itulah dia ketundukan dan ketaatan, serta pergantungan kita kepadaNya.

 Dengan Allah, kekosongan itu terisi

Dengan mendekati Ilahi, kekosongan di dalam hati yang amat misteri itu terisi. Rasa takut hilang.
Rasa  gundah sirna. Rasa gelisah musnah. Rasa resah punah.

Yang ada hanyalah ketenangan.

Ketenangan yang ditunjukkan Bilal bin Rabah RA saat batu menghempap atas dadanya.

Ketenangan yang ditunjukkan Suhaib Ar-Rumy RA saat mengorbankan seluruh hartanya.

Ketenangan yang ditunjukkan Bara’ bin Malik RA saat dia melemparkan dirinya ke kubu musuh.

Ketenangan yang ditunjukkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas saat dia ingin merentas sungai yang besar dan
dalam.

Ketenangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, saat dia hanya berdua bersama Abu Bakr di dalam Gua Tsur.

 Hingga ke tahap nyawa di hujung tanduk, ketenangan itu tetap wujud sebagai mana yang ditunjukkan oleh
 Khubaib ibn ‘Adi RA, saat tubuhnya dilapah hidup-hidup oleh Abu Jahal, dan juga apa yang ditunjukkan
 oleh Ali ibn Abi Talib RA saat dia menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW.

 Apatah lagi sekadar kehidupan kita.
 Ketenangan, rasa selamat, rasa bahagia, rasa aman yang abadi ini, yang terwujud walau saat kesukaran dan
 kegelisahan yang tinggi ini, hanya akan didapati apabila merapat dengan Ilahi. Inilah hakikatnya yang kita cari-cari.
 Dan pada Ilahi adalah tempat untuk kita menuntutnya kini.

 Kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar pengembalian

Maka dekatilah Allah. Bukan semata-mata di dalam solat dan ibadah kita di masjid, bukan semata-mata di dalam qiam kita di tengah malam. Tetapi juga di tengah pejabat kita, di meja makan kita, di rumah kita, di tengah tempat belajar kita, di tengah padang permainan kita, di taman-taman rekreasi kita.

Mendekati Allah, tunduk kepadaNya, sepanjang masa. Ketika.

Kehidupan kita sendiri, kita bina atas apa yang diredhaiNya.

Dan kita telah lihat manusia-manusia yang telah berlalu sebelum kita, yang melakukan perkara yang sama(yakni mendekati Allah, tunduk kepadaNya sepanjang masa), apa yang mereka perolehi di dunia, dan apa yang mereka akan perolehi di akhirat
.
“Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! – Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia – Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “ Surah Al-Fajr ayat 27-30

Tidakkah kita melihat, ini jawapan kepada ‘kekosongan’ itu?

Maka apakah yang patut kita lakukan sekarang?




 -LangitIlahi.com-

No comments:

Post a Comment


ALHAMDULILLAH , JAZAAKALLAHU KHAIRA (: