Hadis : Berdoalah kamu untuk saudara islam

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: “Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga.” Abu ad-Darda’ r.a

Huraian :

Pengajaran hadis:

i) Doa dari seorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dengan harapan semoga ia beroleh kebaikan atau terselamat dari bala bencana adalah dituntut oleh syarak sama ada setahu orang yang didoakan itu atau tidak.


ii) Sesungguhnya setiap kebaikan (doa) yang dipohon itu akan turut diaminkan oleh malaikat dalam erti kata agar doa itu dikabulkan oleh Allah S.W.T bahkan orang yang berdoa itu sendiri akan beroleh kebaikan yang sama sebagai menghargai keikhlasan hatinya mendoakan saudaranya itu.


Hadis : Ciri-ciri kesempurnaan iman


Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” Riwayat Ahmad

Huraian :
1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.


2. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” – (Al-Israk: 30).


3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.


4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

No comments:

Post a Comment


ALHAMDULILLAH , JAZAAKALLAHU KHAIRA (: